Wednesday, April 12, 2017

Analisis Tautan Lagu 'Gurindam Jiwa'




GURINDAM JIWA

B1   Tuai padi antara masak                                   
B2    Esok jangan layu-layuan                                 
B3    Intai kami antara nampak                                
B4    Esok jangan rindu-rinduan                              

B5    Anak cina pasang lukah                                 
B6    Lukah dipasang di Tanjung Jati                      
B7    Di dalam hati tidak ku lupa                             
B8    Sebagai rambut bersimpul mati                      

B9    Batang selasih permainan budak                   
 B10   Daun selasih dimakan kuda                          
B11   Bercerai kasih talak tiada                               
B12   Seribu tahun kembali juga                              

B13   Burung merpati terbang seribu                       
B14   Hinggap seekor di tengah laman                    
B15   Hendak mati di hujung kuku                          
B16   Hendak berkubur di tapak tangan                  

B17   Kalau tuan mudik ke hulu                               
B18   Carikan saya bunga kemboja                          
B19   Kalau tuan mati dahulu                                   
B20   Nantikan saya di pintu syurga                         


Lagu ‘Gurindam Jiwa’ merupakan lagu yang diilhamkan oleh Wandly Yazid sebagai lagu latar filem Gurindam Jiwa. Filem ini dibintangi oleh seniman Nordin Ahmad dan Seniwati Latifah Omar dengan arahan M. Amin.  Lirik lagu ini merupakan gabungan lima rangkap pantun tradisional yang mengandungi unsur pembayang dan maksud.  Lagu ini sinonim dengan dunia percintaan dan berkasih-kasihan. Lirik lagu ini mengandungi 20 baris ayat. Karya Wandly Yazid ini menarik perhatian untuk dikaji analisis wacananya kerana ia mempunyai kesatuan yang utuh dalam karya beliau. Walaupun ayat yang digunakan oleh beliau begitu ringkas tetapi ia saling bersangkutan antara satu sama lain. Kajian dibuat secara keseluruhan berdasarkan lirik lagu Gurindam Jiwa ini.

ANALISIS DISKRIPSI KONSEP TAUTAN DALAM LIRIK LAGU ‘GURINDAM JIWA’

Penelitian aspek tautan dipengaruhi sepenuhnya unsur linguistik yang berfungsi untuk membentuk satu ikatan dalam sesuatu wacana agar  menjadi satu ikatan yang kukuh dan bermakna. Dalam lirik lagu ‘Gurindam Jiwa’ ini, kehadiran konsep tautan dapat dikenal pasti melalui kaedah tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat. Ketiga-tiga jenis tautan utama ini dikaji berdasarkan subjenis masing-masing. Pertama sekali ialah dengan menganalisis tautan perulangan terlebih dahulu, kemudian diikuti pula penganalisisan tautan kolokasi dan diakhiri dengan analisis tautan penghubung ayat.


TAUTAN PERULANGAN

Kriteria penjenisan tautan perulangan meliputi bentuk, makna dan fungsi. Terdapat tujuh jenis tautan perulangan, iaitu tautan perulangan rujukan, tautan perulangan penggantian, tautan perulangan elipsis, tautan perulangan leksikal, tautan perulangan parafrasa, tautan perulangan paralelisme dan tautan perulangan struktur dan makna sama. Namun setelah dikaji, hanya dua jenis tautan sahaja yang dapat dikenalpasti dalam lirik lagu ‘Gurindam Jiwa’ iaitu tautan perulangan parafrasa dan tautan perulangan struktur dan makna sama.
            Tautan perulangan parafrasa merujuk kepada perulangan makna yang sama, bukan yang bertaraf leksikal tetapi daripada unsur yang bersifat frasa sehinggalah ayat. Perkara yang berbeza ialah daripada segi bentuk susunan unsur yang bertaut itu.

                        B15     Hendak mati di hujung kuku                        
B16     Hendak berkubur di tapak tangan      
        
Tautan perulangan parafrasa dapat dilihat dalam lirik lagu di atas. Jelas bait lirik lagu tersebut menunjukkan tautan perulangan parafrasa kerana perulangan makna yang sama tetapi struktur adalah berbeza.
Tautan perulangan struktur dan makna sama merujuk kepada unsur yang bertaut, bukan bertaraf leksikal tetapi yang bertaraf frasa sehinggalah ayat yang sama daripada segi aspek tertentu paralelisme dan parafrasa. Jenis ini menyatukan aspek tertentu paralelisme dan parafrasa.

                        B5       Anak cina pasang lukah                               
B6       Lukah dipasang di Tanjung Jati                   

Perulangan lukah dalam dua baris lirik di atas membuktikan penulis lirik menggunakan konsep tautan perulangan struktur dan makna sama.
Begitulah antara contoh baris lirik lagu yang dapat dikemukakan untuk menunjukkan bahawa konsep tautan perulangan ada di dalam lirik lagu ini. Seterusnya kita beralih pula kepada kajian yang melihat aspek tautan kolokasi yang terdapat di dalam lirik lagu Gurindam Jiwa.

TAUTAN KOLOKASI

Penjenisan tautan kolokasi ini terbahagi kepada empat, iaitu kolokasi antoniman, kolokasi kohiponiman, kolokasi hasil dan kolokasi sifat. Berdasarkan kriteria konteks, unsur tautan itu berada di dalam lirik lagu dan hubungan makna yang diwujudkan. Di dalam lirik lagu Gurindam Jiwa ini, Cuma dua jenis tautan kolokasi dapat dikenalpasti iaitu tautan kolokasi kohiponiman dan tautan kolokasi hasil.
            Tautan kolokasi kohiponiman merujuk kepada keberadaan hubungan makna unsur yang bertaut di peringkat superordinate dengan ordinatnya, atau antara hiponim, atau termasuk meronimi, iaitu hubungan unsur sebahagian dengan unsur yang menyeluruh, atau antara unsur yang sebahagian daripada entity yang menyeluruh.

                        B9       Batang selasih permainan budak                  
B10     Daun selasih dimakan kuda         
                 
            Kolokasi kohiponiman ini dapat dilihat dalam kumpulan anggota badan sebatang pokok selasih. Di dalam baris lirik B9 dan B10 ada menunjukkan pengumpulan anggota badan pokok selasih, iaitu batang selasih dan daun selasih.
            Tautan kolokasi hasil  bermaksud tautan yang melibatkan keberadaan hubungan makna unsur tautan yang satu menghasilkam yang lain, atau antara unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik.

                        B5       Anak cina pasang lukah                               
B6       Lukah dipasang di Tanjung Jati         
         
                        B17     Kalau tuan mudik ke hulu                            
B18     Carikan saya bunga kemboja    
                 
            Contoh 1 menunjukkan seorang anak cina hendak memasang lukah (B5) tetapi tidak diberitahu dimanakah hendak dipasangnya. Jadi pada B6 anak cina itu menunjukkan memberikan hasil pemasangan lukahnya yang dipasang di Tanjung Jati. Tautan dapat dikenalpasti melalui kosa kata memasang lukah dan di Tanjung Jati yang mempunyai kesinambungan maksud daripada segi hasil. Bagi contoh 2 pula menunjukkan jika ‘tuan’ hendak pergi ke hulu, ada yang berpesan bunga kemboja kepadanya. Ini menunjukkan bunga kemboja tersebut berasal daripada kawasan hulu. Tautan kolokasi hasil yang terdapat dalam contoh 2 pula dapat dilihat dalam frasa mudik ke hulu dan carikan saya bunga kemboja yang juga menunjukkan kesinambungan maksud daripada segi hasil. Begitulah bukti-bukti yang menunjukkan penulis lirik ini menggunakan konsep tautan kolokasi dalam hasil karya beliau.

TAUTAN PENGHUBUNG AYAT

Penjenisan tautan ini dibahagikan kepada lima iaitu penghubung ayat tambahan, tentangan, sebab-musabab, waktu dan terusan, mempunyai asas yang berdasarkan kriteria makna unsru yang bertaut sebelum dan selepas sesuatu penghubung ayat yang menandainya. Namun begitu cuma dua jenis tautan penghubung ayat yang digunakan oleh penulis lirik iaitu tautan penghubung ayat sebab-musabab serta tautan penghubung ayat waktu.
            Tautan penghubung ayat sebab-musabab menjelaskan hubungan unsur sebelum dengan selepas dengan makna alasan, akibat, tujuan dan syarat yang ditunjukkan melalui penghubung ayat.
                        B17     Kalau tuan mudik ke hulu                             
            Contoh bait lirik di atas merupakan penghubung ayat sebab-musabab. Penanda kata penghubung ayat sebab akibat ialah kalau.
            Tautan penghubung ayat waktu  pula merujuk kepada hubungan makna yang wujud antara unsur yang sebelum dengan yang selepas seperti pada penghubung ayat yang sebelum dengan yang selepas, seperti pada penghubung ayat yang menunjukkan urutan, sertaa, kesimpulan dan lampauan.
                        B2       Esok jangan layu-layuan                                
B4       Esok jangan rindu-rinduan                            
                        B12     Seribu tahun kembali juga                            
            Tiga baris lirik di atas menunjukkan tautan penghubung ayat waktu yang terdapat di dalam lirik lagu Gurindam Jiwa. B2 dan B3 menggunakan penanda waktu esok manakala B12 pula menggunakan penanda waktu seribu tahun.

            Dapat disimpulkan bahawa semua penjenisan konsep tautan dalam tautan perulangan, kolokasi dan penghubung ayat terdapat di dalam lirik lagu Gurindam Jiwa ini.

ANALISIS KUANTITATIF ASPEK TAUTAN DALAM LIRIK LAGU ‘GURINDAM JIWA’

Analisis kuantitatif ini berdasarkan bilangan ayat yang mengandungi unsur tautan mengikut kategori masing-masing.

TAUTAN
BARIS LIRIK
JUMLAH
PERULANGAN
Rujukan ( TP 1 )
-
0
Penggantian ( TP 2)
-
0
Ellipsis ( TP 3)
-
0
Leksikal ( TP 4 )
-
0
Parafrasa ( TP 5 )
B15, B 16
2
Paralelisme ( TP 6 )
-
0
Struktur dan Makna Sama ( TP 7)
B5, B6
1

3

KOLOKASI
Antoniman ( TK 1 )
-
0
Kohiponiman ( TK 2 )
B9, B10
2
Hasil ( TK 3 )
B5, B6, B17, B18
4
Sifat ( TK 4 )
-
0

6

PENGHUBUNG AYAT
Tambahan ( TPA 1 )
-
0
Pertentangan ( TPA 2 )
-
0
Sebab-Musabab ( TPA 3 )
B17
1
Ayat Waktu ( TPA 4 )
B2, B4, B12
3
Ayat terusan ( TPA 5 )
-
0

4


Graf yang menunjukkan bilangan ayat mengikut kategori masing-masing


Berdasarkan jadual dan graf di atas, di dapati bahawa tautan kolokasi hasil mempunyai jumlah 4 baris lirik yang paling banyak digunakan dalam penghasilan lirik lagu ini. Kemudian diikuti oleh tautan penghubung ayat yang mengandungi 3 baris lirik dan tautan perulangan parafrasa serta tautan kolokasi kohiponiman yang mempunyai 2 baris lirik. Tempat terakhir dimiliki oleh tautan perulangan struktur dan makna sama serta tautan penghubung ayat sebab-musabab yang mewakili jumlah 1 baris lirik bagi setiap jenis tautan.

3 comments:

  1. Background colour membuat sukar utk dibaca!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Select, seperti mana ingin copy, akan nampak semuanya ...

      Delete
  2. Maaf tuan, pada pengetahuan saya, Wandly Yazid adalah komposer lagu ini, iaitu penggubah seni lagu sahaja, bukan penulis lirik. Daripada beberapa rujukan, penulis lirik Gurindam Jiwa bernama "Hamzah" namun sangat kurang maklumat mengenainya di internet. Terima kasih.

    ReplyDelete